Partime Tanam 830 Pokok Cili Solok, Boleh Dapat RM55 Ribu Semusim

Dua bulan lepas sempat la saya sambung berguru dengan member yang kami kira otai dalam tanaman lada solok ni.

Masa tu beliau datang ambil anak benih lada solok untuk ditanam pada musim ini. Sekarang ni, tengah kutip hasil dah pokok tersebut.

Kami panggil beliau dengan gelaran Park Chu. Bila berborak panjang, dapat la sedikit sebanyak rahsia dan buah ”spelek”. Di antara kami, beliau la yang paling hebat.

Setakat ini rekod pengeluaran tertinggi sepokok lada solok di tangan beliau, purata 9.1 kg sepokok semusim. Tiada lagi diantara kami yang dapat pecahkan rekod tersebut.

Ini cerita musim lepas.

Beliau tanam tak banyak, hanya 830 polibag sahaja. Satu polibag ditanam dengan satu pokok menggunakan kaedah fertigasi gantung. Jarak antara baris 6 kaki dan jarak antara polibag adalah 3 kaki.

Lepas tanam, ada la sekitar 3% pokoknya terbantut dan mati. Beliau terus sulam dengan yang baru. Alhamdulillah semua pokoknya dapat mengeluarkan hasil.

Mula tanam pada 20 Oktober 2017 dan kutip hasil terakhir pada 29 Jun 2018. Kira power la kan sebab pokok boleh bertahan hingga 8 bulan lebih di dalam polibag.

Beliau dapat hasil lebih kurang 7,553 kg @ 9.1 kg sepokok. Itu yang direkod untuk jualan sahaja, yang sedekah dan bagi free tak termasuk.

Dalam tempoh kutipan hasil selama tujuh bulan tu, harga yang paling rendah beliau dapat adalah RM5/kg dan harga paling tinggi pernah capai RM16/kg. Bila di kira-kira balik, beliau cakap dapat la harga purata RM7.30/kg.

Dengan harga purata RM7.30/kg, pendapatan kasar yang beliau dapat adalah RM55,136.90 semusim. Secara kasarnya dapatlah RM66.43 sepokok semusim.

Asyik cerita duit masuk je, macam mana dengan duit keluar?

Okey.

Kos pembangunan yang beliau laburkan untuk bangunkan dan siapkan kebun fertigasi gantung ini lebih kurang RM13,000. Puratanya RM15.66 untuk setiap polibag.

Mengikut beliau, kos ini agak tinggi sedikit sebab terpaksa buat kerja-kerja bersih belukar dan ratakan tanah. Maklumlah, kawasan ini sedikit berbukit.
Selain kerja-kerja penyedian tapak, kos pembangunan termasuklah bagi menyiapkan infrastruktur fertigasi gantung, system pengairan dan rumah operasi.

Biasanya, anggaran kasar kos pembangunan fertigasi gantung bagi satu polibag antara RM10 – RM15.

Untuk kos input pula, anggaran yang beliau belanjakan untuk semusim tanaman lada solok adalah kira-kira RM8,000.

Kos tersebut adalah untuk pembelian baja Larutan Cooper @ Baja AB, pembelian racun kulat & serangga perosak, pembelian foliar, pembelian baja organik dan pembelian bahan-bahan untuk penyediaan kawalan organik serta plant booster.

Disebabkan beliau masih lagi makan gaji, kerja-kerja diladang diserahkan dan dibuat oleh anak buahnya dengan gaji RM1,000 sebulan. Beliau dapat pergi pada waktu petang dan hari cuti sahaja.

Bila masa untuk harvest buah, beliau minta ahli keluarga dan orang kampung untuk tolong kutip dengan bayaran RM0.50 bagi setiap kilogram bermula daripada kutip buah hinggalah siap packing.

Anggaran keuntungan yang beliau dapat semusim tanaman lada solok :

Pendapatan kasar – kos pembangunan – kos input – kos buruh = Pendapatan bersih.
RM55,136.90 – RM13,000.00 – RM8,000.00 – RM11,776.50

= RM22,360.40.

Jika dibahagikan dengan 8 bulan, maka pendapatan sampingan yang beliau dapat lebih kurang RM2,795.05 sebulan. Okey tak dapat dua ribu lebih sebulan secara partime?

Okey, jom kita tengok apa rahsianya.

Pembajaan

1. Cocopeat digaulkan dengan sedikit baja organic terpilih semasa kerja-kerja pengisian media ke dalam polybag (30 gram satu polybag).

2. Pembajaan bermula pada hari ketiga selepas tanam.

3. Pembajaan tujuh kali sehari . Empat kali sebelah pagi (8.30, 10.30, 11.30, 12.00) dan tiga kali waktu petang (2.00, 3.30 dan 5.00).

4. Kepekatan baja bermula dengan 1.5 mS cmˉ¹ dan ditambah 0.2 pada setiap minggu hingga kepekatan 2.8 mS cmˉ¹. Sekali sekala drip jugak 3.0 hingga 3.2.

5. Pukul 1.00 petang bagi air kosong hingga lebihan air menitik dibawah polybag.

6. Siram dengan baja organic yang telah diperam sekali seminggu pada waktu petang.

Kawalan Penyakit & Perosak

1. Kawalan kimia mesti ikut jadual, tak boleh lari walaupun sehari. Penyakit lada ni untuk dicegah, bukannya untuk dirawat.

2. Gilir gilir jenis racun, jangan guna jenis yang sama sahaja.

3. Racun dicampur dengan foliar dan pelekat.

4. Sembur waktu petang, lagi gelap lagi baik.

5. Pastikan pucuk dan daun muda basah lencun semasa semburan dibuat.

6. Sembur dengan campuran plant booster dan kawalan organic sekali seminggu.

 


Ini ada beberapa tips yang beliau berikan kepada saya.

1. Cari mentor sebagai tempat rujukan.

2. Pastikan pasaran dah ada baru tanam. Tak ada pasaran jangan tanam. Ini yang paling utama.

3. Mula dengan kuantiti yang sedikit dahulu, antara 700 hingga 1000 polibag sahaja. Bila dah mahir dan pandai, baru buat banyak.

4. Guna modal di tangan. Jangan buat loan atau berhutang dengan along.

5. Mesti “bercakap” dengan pokok setiap hari. Paling kurang pun 3 hari sekali wajib belai pokok satu persatu.

Ni ayat paling win yang beliau pesan dekat saya. “Tak semua orang yang buat pertanian ni akan berjaya, namun ramai juga yang telah jadi jutawan asbab pertanian”.

Pilihan dan usaha ditangan kita, buat dan cari ilmu. Insyaallah dengan izin Allah, kita akan berjaya.

2 thoughts on “Partime Tanam 830 Pokok Cili Solok, Boleh Dapat RM55 Ribu Semusim”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top