6M : Tips Macam Mana Nak Sukses Dalam Pertanian

 

Ramai yang tak sabar-sabar nak tahu tips 6M dalam perancangan projek pertanian ni. Siap ada yang mesej ajak makan mee udang lagi. Tak kurang juga yang wassup minta email secara personal artikel tu.

Terima kasih banyak-banyak sahabat atas sokongan tuan puan. Maaf lambat post artikel ni sebab sibuk uruskan baby yang baru lahir warded. Alhamdulillah dah discaj.

Okey. InsyaAllah saya akan ulas 1-1.

6M ni sangat penting dan perlu kita hadam betul-betul jika kita tak nak rugi @ gagal bila buat projek pertanian nanti.

1. Marketing @ Pemasaran

Ini M yang paling penting dan utama. Sebelum nak buat yang lain, pastikan pasaran dah ada. Jika kita tak ada pasaran, jangan tanam. Full stop! Lebih baik duit modal tu simpan dalam Tabung Haji atau ASB ye.

Cara nak survey pasaran ni, kita boleh tanya dengan FAMA, Jabatan Pertanian atau pemborong. Nak lagi sedap, kita pergi jumpa 5 orang otai yang dah senior di kawasan kita nak tanam tu.

Tanya mereka, apa tanaman yang senang jual, sayur apa harganya stabil dan pemborong mana yang cepat bayar. Eloknya, jadikan mereka sebagia mentor dan tempat rujukan. Lagi cun kita berkuli sebulan dua dengan dia.

Bila dah rasa tahu apa pasaran nak, barulah kita pilih tanaman yang patut ditanam. Ingat! Tanam tanaman yang market nak, bukannya tanam pokok yang kita suka.

Harga murah mahal soal lain. Yang penting, pasaran ada. Dah adat bisnes, ada masa harga tinggi dan ada juga masa harga bawah kos. Itu normal.

2. Management @ Pengurusan

M yang kedua adalah Management @ Pengurusan. Ramai antara kami yang tak kisah sangat pasal pengurusan ni. Sebenarnya ni lah factor yang tentukan kita boleh hidup lama atau tak dalam industry pertanian ni.

Kita mesti tahu dan bijak pilih jenis apa nak tanam. Bila masa yang sesuai tanam. Barulah risiko rugi tu dapat dikurangkan.

Ini contoh kawan saya. Sebelum tanam, beliau akan pergi tanya 5 kedai utama yang jual biji benih. Minta tuan kedai listkan 1 hingga 5 benih apa yang paling laris.

Paling lewat pun dalam masa 2 minggu petani akan semai benih tadi.

Jadi beliau akan tanam pokok yang berada di rangking 4 dan 5. Alhamdulillah, setakat ni usaha beliau masih lagi berjaya sebab harga tak pernah rendah daripada harga kos.

Tak tahu la tips ni berkesan lagi ke tak sebab lepas ni dah ramai yang akan ikut tips ni. Hihi.

Selain tu, pengurusan tanaman pun kena hebat juga. Kita atau pekerja perlu tahu bila masa pokok nak baja, bila pokok kurang air, bila pokok ada tanda sakit dan macam-macam lagi.

Pendek kata ilmu ni agak susah dan bukan boleh dapat dalam masa sebulan dua. Namun kita boleh atasinya dengan cara belajar dari mentor tadi.

Duit pun nak kena pandai urus juga. Ramai yang tak boleh “run” musim depan sebab duit modal dah habis guna. Ada yang guna buat down payment untuk angkat Hilux baru.

Saya masih ingat pesan uncle berbangsa Cina, bila projek berjaya dan dapat untung, jangan joli dengan duit tu. Simpan untuk modal 2 musim akan datang. Barulah boleh tahan lama dalam industry ni.

3. Material @ Tapak

Macam kita semua tahu, pokok perlukan air, baja dan cahaya yang cukup untuk tumbuh sihat bagai sang juara.

Air dan baja adalah factor yang kita boleh kawal. Maksudnya buat dimana-mana lokasi pun, kita boleh bagi dengan bantuan teknologi yang ada.

Perlu diingat, cahaya kita tak dapat kawal. Ianya ditadbir oleh Yang Maha Esa. Jadi kita perlu pilih tapak yang sesuai, yang dapat cahaya matahari secukupnya.

Misalnya kita nak tanam cili, kawasan yang paling sesuai adalah tapak yang dapat cahaya matahari secara terus dari pukul 8 pagi hingga 4 petang. Barulah pokok kita dapat bekalan tenaga yang cukup untuk daun proses buat makanan.

Selain tu, tapak mesti bebas banjir kecuali jika kita buat fertigasi gantung. Yang paling baik tapak dekat dengan rumah. Bukan apa, senang sikit nak pantau dari serangan haiwan liar dan makhluk berambut hitam. Macam kami, penat-penat tanam tapi orang laing tolong kutip. Terbakar hati weh.

Lagi baik tapak projek kita tu ada jalan dan tak jauh sangat dari pusat pasaran. Bila ada jalan, senang sikit nak bawa keluar hasil dan dapat hantar cepat ke pasaran. Duit minyak atau tambang pun jimat. Hasil pun masih segar dan berkualiti. Jadi kita pun dapatlah harga yang cantik sikit.

4. Man : Manusia @ Buruh

Tenaga buruh sangat penting bila kita buat projek pertanian. Paling kritikal semasa harvest hasil. Tak cukup buruh, hasil tak habis kutip,rugi kita. Tak pasal-pasal garu kepala tempat tak gatal.

Jadi kita perlu cari pekerja yang betul-betul rajin dan minat. Gaji pun kena la sepadan. Maklumlah, pertanian ni kan bidang yang tak glamour, kena panas dan hujan.

Untuk 800 – 1200 polibag fertigasi gantung, kita mesti ada seorang pekerja tetap. Ianya mestilah cekap. Sanggup kerja pukul 7 pagi dan kadang – kadang habis pukul 7 petang.

Isu pekerja yang lari tengah-tengah musim tanaman biasa berlaku. Pening kita bila berlaku macam tu. Bukan senang nak cari orang baru. Silap hari bulan, buruk kat pokok hasil tanaman kita. Rugi lagi!

Ini tips macam mana kawan saya boleh pegang pekerja supaya tak lari. Bukan senang nak cari yang jenis setia dan sabar. Beliau cakap, nak yang setia senang je. Pastikan duit yang dia dapat cukup dan cepat.

Biasanya beliau akan bagi gaji RM50/hari. Setiap hari Khamis mesti kena bayar. Tak ada duit macam mana pun, kena usaha bayar. Jangan tunggu pemborong bayar duit sayur dulu baru kita nak bayar. Dua kali lambat bayar, tak lama la dia dengan kita.

Kawan saya ni siap bagi komisen lagi. Ikut produktiviti dan kualiti hasil. Contohnya, dia akan bagi komisen 10 sen/kg untuk setiap buah petola gred A yang dapat dijual. Jika satu musim dapat jual 7 tan petola, boleh lah RM700 komisen untuk kerja 3 bulan. Banyak jugak tu!

Semangat la sikit orang tu nak buat kerja. Nampak je kita macam untung sikit, sebenarnya kita untung besar tau bila buat macam ni, jelas beliau pada saya.

5. Machine : Jentera @ Teknologi

Bila buat projek pertanian, kita sangat perlukan bantuan jentera dan teknologi. Ia boleh tingkatkan hasil kebun kita dan bantu cepatkan kerja kita.

Teknologi ni tak perlu lah canggih sangat, cukup sekadar dengan keperluan kebun kita. Yang terbaik cari teknologi yang mudah dan murah tapi sangat membantu urusan di kebun kita nanti.

Misalnya kita tanam cili solok 1000 polibag, tak perlulah guna drone untuk buat semburan racun perosak dan foliar. Cukup sekadar guna pam galas kuasa bateri je dulu.

Satu lagi contoh, jika kita plan nak tanam pelbagai jenis sayur buah. Kita buat lah fertigasi gantung sebab bila guna fertigasi gantung ni, semua jenis sayur buah boleh kita tanam tanpa ubah @ tambah struktur fertigasi tu.

Bila kita guna fertigasi atas tanah, hanya cili dan terung sahaja yang dapat tanam dengan system tersebut. Bila nak tanam petola, peria atau timun, kita terpaksa tambah struktur fertigasi tadi dengan buat trellis. Banyak kerja dan rugi masa.

Dengan fertigasi gantung, giliran tanaman dapat dibuat dengan baik. Bila buat giliran tanaman, kita dapat kurangkan risiko perosak dan penyakit dari tanaman sebelum ini.

Kuncinya, guna jentera atau teknologi yang paling mudah, paling murah, paling baik dan paling berkesan untuk kebun kita.

6. Money : Modal @ Duit

Ini M yang last. Ramai yang kata, modal ni factor paling utama bila nak buat projek pertanian. Kami kurang setuju dengan pendapat tersebut.

Kawan saya bermula dengan modal RM500. Dua tahun pertama, jual anak cili dan terung dalam bekas air polisterin di pasar tani dengan harga RM1 satu bekas. Dua kali seminggu beliau masuk pasar tani. Setiap minggu paling kurang 400 anak benih dapat dijual. Untung bersih paling kurang 50%.

Masuk tahun ketiga, beliau masih berniaga di pasar tani, 2 kali seminggu juga. Cuma kali ini beliau jual pokok cili dan terung dalam polibag yang dah berbuah. Satu polibag harga antara RM7 – RM10. Seminggu dapat la jual paling kurang 150 polibag. Margin untung lagi besar, 60% hingga 70%. Dua tahun beliau buat macam ni.

Masuk tahun kelima beliau dah mula setup ladang dengan modal yang ada. Bermula dengan sewa 1 ekar tanah orang, tanam dengan petola segi secara konvensional.

Tahun 2016 dah mula tukar dengan teknologi fertigasi gantung sebanyak 2000 polibag. Masih tanam dengan petola. Sekarang dah ada lebih kurang 9000 polibag dengan tanaman terung, petola, peria dan lada solok.

Jadi, kita sama-sama buat dengan apa yang ada ditangan. Buat kecil-kecil dulu. Kenal sepak terajang dan asam garam dalam industry ni. Momen ni sangat mahal.

.

Nak berkebun ni tak lah susah sangat bila kita tahu cara yang betul dan buat planning yang jelas. Bila kita ikut 1-1 6M diatas, insyaAllah usaha kita akan dipermudahkan sebab kita dah tahu dengan jelas hala tuju matlamat kita. Sambil-sambil tu, carilah sedikit ilmu dan rujuk lah pada mentor.

Semoga kita semua berjaya dan jadi jutawan dengan asbab pertanian. Amin.

4 thoughts on “6M : Tips Macam Mana Nak Sukses Dalam Pertanian”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top