5 Strategi Pemasaran Nanas MD2

Perlu kita ingat, pasaran adalah “KING”. Jadi, sebelum kita tanam nanas MD2, kita mesti tahu kemana kita nak pasarkan buahnya nanti. Adakah secara borong atau runcit? Jika tak tahu macam mana nak jual, jangan tanam dulu!

Kita wajib buat pelan pemasaran supaya tidak berlaku lambakan buah nanti. Tak perlu pelan pemasaran yang complicated sangat. Memadai kita tahu siapa pembeli dan berapa kuantiti yang diperlukan dalam tempoh masa tertentu.

Ada 5 pelan pemasaran yang kita boleh buat.

1. Ladang Kontrak

Buah nanas MD2 termasuk dalam kategori buah-buahan yang boleh dibuat “Ladang Kontrak” bersama FAMA. Maksudnya, kita ada perjanjian “hitam putih” berhubung urusan jualan buah nanti.

Caranya mudah sahaja. Sahabat boleh mengisi borang permohonan untuk menyertai Program Ladang Kontrak. Borang tersebut boleh didapati di Pejabat FAMA, Pejabat Pertanian, Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan dan semua pejabat agensi dibawah Kementerian Pertanian & Industri Makanan.

Bila menyertai program tersebut, mestilah ada syarat-syarat yang perlu dipersetujui bersama. Antaranya adalah berkaitan kuantiti hasil yang akan di jual beli nanti.

Sahabat boleh pilih samada nak jual 100% hasil melalui ladang kontrak. Nak jual 50% pun boleh. Persetujuan ini dibuat sebelum hasil keluar.

Dengan Program Ladang Kontrak, buah nanas MD2 yang sahabat tanam ada jaminan pasaran bergantung pada syarat-syarat dan terma yang telah ditetapkan.

Yang bestnya ladang kontrak ni, ia ada harga lantai. Tak silap saya harga lantai nanas MD2 adalah RM1.50/kg. Harga lantai ni bermaksud, harga minimum yang dibayar jika harga pasaran semasa lebih rendah daripada harga lantai tersebut.

Contohnya macam ni. Katakan harga  borong semasa nanas MD2 adalah RM1.30/kg. Sahabat akan dibayar dengan harga RM1.50/kg  melalui  Program Ladang Kontrak.

Bila harga borong semasa  melebihi harga lantai, harga yang dibayar kepada sahabat adalah mengikut harga pasaran semasa.

2. Jualan Borong

Ini pelan pemasaran yang paling popular dikalangan petani-petani kecil. Pemborong/peraih akan datang ke kebun dan membeli buah tersebut sebagaimana  yang telah dipersetujui bersama. Harga yang ditawarkan berbeza berdasarkan kualiti dan permintaan.

Ianya tidak terhad kepada satu pemborong/peraih sahaja. Ada dikalangan petani, dah “ikat kontrak” dengan 2-3 pemborong/peraih. “Kontrak” ini tak ada hitam putih. Ianya secara lisan sahaja dan berpaksikan kepada kepercayaan antara satu sama lain.

3. Jualan Terus/Runcit

Pelan pemasaran ini sangat jarang dibuat oleh para petani. Kata mereka, ia agak susah, hasil lambat habis dan perlukan masa yang lebih untuk proses pemasaran.

Ya betul, memang tidak dapat dinafikan pelan pemasaran ini agak sukar sikit. Namun keuntungan yang kita boleh dapat adalah 2 kali ganda daripada kita jual secara borong. Jika harga borong RM3.50/kg, harga runcit boleh mencecah hingga RM7.00/kg

Guru saya cakap, sebenarnya tak susah sangat pun nak jual nanas MD2 tu secara runcit. Ia perlukan usaha yang lebih sedikit.

Kita boleh jual dengan cara pre order melalui wassup group, jualan kepada jemaah masjid, jualan secara cod di taman perumahan, jualan melaui bonet kereta dan jualan di pasar tani. Macam-macam kita boleh buat, asalkan rajin je.

Yang penting kita tahu tahap pasaran yang kita boleh capai. Contohnya, pasaran yang kita boleh capai adalah 120 biji seminggu. Lepas tu kita atur la pelan pengeluaran ikut kapasiti pasaran tersebut. Maka, tak akan berlaku isu lambakan buah yang tak boleh jual nanti.

4. Jualan Buah Potong

Kita boleh bilang dengan sebelah jari je petani yang buat jualan buah potong. Biasanya,  peraih yang banyak buat macam ni. Konsep pemasaran ini memerlukan komitmen yang agak tinggi. Perlu kepada sokongan daripada pasangan atau ahli keluarga terdekat.

Contohnya, suami akan buat kerja-kerja diladang manakala isteri, anak atau saudara terdekat yang menguruskan jualan buah potong ini.

Dalam pelan pemasaran ini, ia tidak terhad kepada jualan buah potong sahaja. Guru saya buat 4 dalam satu. Jual buah segar, jual buah potong, jual jus dan jual rojak. Purata harga jualan agak tinggi, antara RM15-20/kg. Sangat lumayan dan berbaloi kan.

Beliau berniaga dibeberapa tapak pasar yang ramai orang seperti pasar malam, pasar tani dan pasar pagi. Berniaga 5-6 jam sehari, 3 kali seminggu. Paling kurang beliau boleh dapat jualan RM1,300 satu hari.

Saya kongsikan satu kisah anak muda yang buat pelan pemasaran ini. Beliau lulusan ijazah daripada sebuah universiti di Mesir. Tolak tawaran untuk menjadi ustaz sepenuh masa. Memilih untuk menjadi penanam dan peraih nanas MD2.

Beliau beli buah nanas MD2 di Jeli dan bawa ke Kota Bharu. Penuh kereta Myvi beliau dengan buah nanas MD2. Kadang-kadang tu, beliau muat hingga 350 kg untuk satu trip perjalanan.

Di Kota Bharu, ada beberapa tempat yang beliau jadikan “port” berniaga. Ada didepan kedai makan, ada di depan pejabat kerajaan dan ada juga ditempat rekreasi. Lokasi ini beliau akan “masuk” ikut hari yang beliau dah tetapkan.

Jualan hanya melalui bonet kereta dan ada sebiji meja kecil yang beliau bawa. Atas meja ni, beliau akan letak buah yang dah siap potong. Harga satu bekas RM5. Satu biji buah seperti dalam gambar diatas boleh muat 2 bekas lebih.

Buah penuh Myvi ni beliau jual dalam masa 3-4 hari je. Bila dah habis, beliau pergi ambil lagi. Maksudnya lebih kurang 500-700 kg beliau dapat jual dalam tempoh seminggu. Sahabat boleh kira sendiri la kan, berapa pendapatan yang beliau dapat.

5. Jualan Eksport

Petani kecil yang baru dalam industri nanas MD2 biasanya tak akan lepas nak “masuk” pelan pemasaran ini. Pengurusan ladang dan kualiti buah yang dihasilkan tak capai standard yang ditetapkan.

Boleh dikatakan pelan pemasaran ini dikuasai oleh syarikat-syarikat besar. Ada juga usahawan kecil yang berkolabrasi dengan syarikat ini. Konsep menang-menang.

Guru saya ada juga eksport buah nanas MD2 beliau ke Korea. Harga boleh tahan cun la. Harga ladang pun RM7-8/kg.

Jadi, pastikan kita dah ada pelan pemasaran sebelum kita tanam. Nak cepat dan mudah, kita join Ladang Kontrak atau jual borong. Nak pendapatan lebih, buat jualan 4 dalam satu.

Insya-Allah dengan adanya pelan pemasaran, risiko buah nanas MD2 kita yang tak dapat dijual adalah sangat kurang.

Dalam game nanas MD2, ianya bukan soal berapa luas dan banyak kita tanam. Yang paling penting, berapa banyak yang kita boleh jual dan berapa margin yang boleh dapat.

p/s: Boleh dapatkan ebook “23 Tips Usahawan Nanas MD2” dipautan ini agromallasia.ordersini.com

Azuan Abdullah

Graduan Bacelor Sains Bioindustri, UPM. Berkhidmat sebagai agronomist. Sangat minat berkebun. Suka menulis dan berkongsi pengalaman berkaitan pertanian.

Leave a Comment

error: Content is protected !!