5 Kelebihan Berkebun Guna Teknik Nutripot

Berkebun dirumah akan jadi lebih mudah dan seronok bila kena caranya. Antara cara yang paling simple dan jimat adalah dengan cara berkebun guna Teknik Nutripot.

Dibawah ini saya listkan 5 kelebihan yang kita akan dapat bila berkebun guna teknik nutripot.

1. Tak perlu siram setiap hari.

Bila berkebun dirumah, antara isu yang paling besar adalah tidak sempat nak siram setiap hari. Kesannya, pokok akan jadi layu dan risiko untuk pokok mati sangat tinggi.

Dengan teknik nutripot, masalah tersebut dapat diatasi. Sahabat tak perlu lagi risau bab siram menyiram ni. Memadai siram 2-3 kali je seminggu bergantung kepada usia pokok. Jika cuaca panas sangat,  kita boleh tambahkan kekerapan siraman dan boleh juga tambah kuantiti air baja setiap kali siraman.

2. Jimat air dan baja.

Pembajaan dan siraman dilakukan serentak. Baja yang digunakan adalah baja larut air. Contoh mudah baja larut air adalah baja AB. Kita larutkan baja tersebut ke dalam air mengikut kepekatan yang sesuai. Lepas tu kita siram pada permukaan media.

Semasa siraman, pasti akan ada lelehan air yang keluar melalui bawah pasu. Dengan teknik nutripot ini, lebihan air yang keluar akan disimpan didalam bekas/baldi. So, ianya dapat menjimatkan air dan baja.

3. Serap air dan nutrien yang konsisten.

Macam mana akar dapat air dan nutrien dengan konsisten?

Lebihan air baja yang ada dalam bekas dibawah pasu menjadi stok air dan nutrien pada pokok. Air baja tersebut akan diserap oleh akar bila perlu.

Biasanya, media yang digunakan adalah cocopeat. Seperti kita tahu, cocopeat antara media yang mempunyai ruang udara yang baik dan juga penyerap air yang baik.

Jika berlaku hujan, lebihan air hujan tersebut akan keluar ke dalam bekas dibawah pasu. Jika kuantitinya terlalu banyak, ia akan mengalir keluar melalui lubang over flow yang kita dah buat. Selepas je hujan, media akan kembali kepada kondisi yang sesuai dalam masa yang cepat.

Andaikata cuaca terlalu panas, cocopeat menjadi cepat kering. Kadar kehilangan air tersebut dapat diatasi dengan agak cepat. Caranya, span akan menyerap air dari bekas dibawah pasu dan bawa naik ke akar.

Amat jarang berlaku pokok layu pada waktu tengahari dengan syarat air dalam tong/baldi tu ada la ya.

Dengan ini, akar akan dapat bekalan air dan nutrien secara konsisten. Bila pokok sentiasa dapat air dan makanan dengan sempurna, kadar pertumbuhan pokok pun menjadi cepat dan ia dapat hidup subur.

4. Banyak jenis tanaman

Macam-macam kategori tanaman yang boleh kita tanam guna teknik nutripot ini.

Kita boleh tanam sayur buah seperti cili, terung dan bendi. Nak tanam sayur buah yang menjalar seperti timun dan kacang panjang pun tak ada masalah. Perlu tambah para/trellis je.

Kita boleh tanam semua jenis sayur daun. Antara yang popular adalah sawi, salad, kalian, bayam, kangkung, kubis bulat, kucai dan daun sup.

Kita boleh tanam tanaman singkat masa. Antaranya tembikai, labu manis, jagung dan rock melon.

Kita boleh tanam pokok herba seperti halia, kesum, serai dan kunyit.

Bestkan, macam-macam boleh tanam.

5. Sesuai untuk semua kluster rumah

Teknik nutripot boleh dibuat di kluster tanah lot, kluster teres dan kluster apartment. Nak tanam kat tingkat 17 pun boleh. Pendek kata, ianya sesuai untuk semua jenis penempatan.

Lepas ni, kita dah tak boleh la nak guna alasan kawasan yang tak sesuai atau tak ada kawasan untuk berkebun kan.

Sahabat,

Ini antara 5 kelebihan yang saya dapat bila berkebun guna teknik nutripot. Ianya mungkin bukan kaedah yang terbaik, namun sangat mudah dan jimat untuk dibuat. Sahabat boleh cuba teknik ini dan rasai sendiri keseronokan berkebun nanti.

Selamat Berkebun!

Azuan Abdullah

Graduan Bacelor Sains Bioindustri, UPM. Berkhidmat sebagai agronomist. Sangat minat berkebun. Suka menulis dan berkongsi pengalaman berkaitan pertanian.

Leave a Comment

error: Content is protected !!