4 Keperluan Asas Tumbuhan

Berkebun akan jadi mudah dan seronok bila kita tahu apa keperluan asas yang diperlukan oleh pokok. Untuk dapatkan pokok yang sihat dan subur bagaikan sang juara, 4 keperluan asas ini perlu di dipenuhi iaitu :-

Air
Cahaya
Udara
Nutrien (baja)

1. Air

Air merupakan komponen paling utama yang diperlukan oleh pokok. Secara purata, 80-90 % dari berat tumbuhan adalah air. Air berperanan sebagai medium pengangkutan nutrient di dalam tumbuhan. Ia juga diperlukan dalam proses fotosintesis.

Jika tanaman kita tak cukup air, kita boleh nampak dengan jelas kesannya iatu pokok akan jadi layu dan boleh mati selepas beberapa hari tanpa air. Air juga membekalkan unsur hidrogen kepada pokok.

2. Cahaya

Cahaya sangat diperlukan oleh pokok untuk proses fotosintesis. Kekurangan cahaya boleh menyebabkan daun kurang hijau dan pokok akan terbantut tumbesarannya. Kesannya, hasil yang diperolehi nanti akan berkurangan antara 30-50%.

Secara umumnya, kebanyakan tanaman memerlukan antara 15,000-45,000 lux cahaya untuk pertumbuhan yang baik dan normal.

3. Udara

Di dalam udara, ada dua komponen utama yang diperlukan oleh pokok iaitu karbon dioksida (CO2) dan oksigen (O2). Karbon dioksida diperlukan untuk menghasilkan makanan (fotosintesis). Oksigen pula diperlukan untuk proses respirasi iaitu proses menukar makanan kepada tenaga.

Pengudaraan yang cukup dan sempurna sangat penting bagi memastikan tanaman dapat hidup subur dan sihat. Jika pengudaraan tidak baik, risiko pokok kita untuk diserang penyakit terutamanya yang disebabkan oleh kulat adalah sangat tinggi.

Selain itu, akar juga memerlukan pengudaraan yang baik. Adalah sangat penting untuk kita memastikan media yang digunakan adalah poros dan peroi kerana ia sangat baik kepada pengudaraan akar.

4. Nutrien (baja)

Dua sumber nutrien yang pokok boleh dapat iaitu nutrien yang telah tersedia di dalam media tanaman @ tanah dan nutrien yang dibekalkan melalui pembajaan. Sebahagian besar nutrient yang dibekalkan melalui pembajaan ini diperolehi melalui akar dan ada juga melalui daun.

Sekurang–kurangnya ada 13 jenis nutrient yang boleh dibekalkan kepada pokok melalui pembajaan. Ianya dipecahkan kepada tiga kategori iaitu :

A. Makro utama
Terdapat 3 unsur makro utama iaitu:
Nitrogen (N)
Phosphorus (P)
Potassium @ Kalium (K)

B. Makro sekunder
Terdapat 3 unsur makro sekunder iaitu:
Kalsium (Ca)
Magnesium (Mg)
Sulfur (S)

C. Mikro @ surih
Terdapat 7 unsur mikro @ surih iaitu:
Boron (B)
Zink (Zn)
Ferum (Fe)
Kuprum (Cu)
Mangan (Mn)
Molibdenum (Mo)
Clorin (Cl)

.

Bila kita dah tahu 4 keperluan asas ini, proses berkebun akan jadi lebih mudah dan seronok. Tanam pokok apa pun nanti, insyaAllah akan hidup subur dengan izin Yang Maha Esa.

 

Azuan Abdullah

Graduan Bacelor Sains Bioindustri, UPM. Berkhidmat sebagai agronomist. Sangat minat berkebun. Suka menulis dan berkongsi pengalaman berkaitan pertanian.

Leave a Comment

error: Content is protected !!