3 Faktor Terpenting Dalam Pemilihan Tapak Untuk Tanaman Nanas MD2

Ramai sahabat yang berminat nak tanam nanas MD2 memandangkan pulangannya yang agak lumayan. Namun, kita perlu lebih berhati–hati dalam pemilihan tapak supaya kita tidak akan mengalami kerugian yang teruk nanti.

Bagi pemilihan tapak untuk tanaman nanas MD2, tiga faktor ini perlu dipatuhi supaya kita tidak akan “terduduk” di tengah-tengah ladang di kemudian hari.

1. Iklim / Cuaca

Boleh dikatakan iklim di Malaysia sangat sesuai untuk tanaman nanas MD2 di mana purata suhu di Semenanjung Malaysia adalah 26°C. Pokok nanas MD2 dapat tumbuh dengan optimum pada suhu sekitar 30°C dan beriklim tropika.

Cahaya matahari sangat penting dalam pertumbuhan pokok nanas MD2. Kedapatan cahaya yang optimum antara pukul 7.30 pagi hingga 5.00 petang dapat membantu pokok tumbuh dengan subur dan sihat.

Berdasarkan satu kajian, kekurangan cahaya matahari boleh menyebabkan hasil berkurang sebanyak 10-20%.

Jom kita buat hipotesis berapa nilai keuntungan yang terlepas jika kita tanam dikawasan yang tak dapat cahaya matahari secara optimum.

Andai kata 1 ekar kita boleh tanam dengan 15,000 pokok nanas MD2.

Katakan pokok yang berhasil adalah 80%.

Maka

= 0.80 x 15,000
= 12,000 pokok akan berhasil.

Kita andaikan purata berat buah adalah 1.5 kg satu biji.

1 biji = 1.5 kg
= 1.5 kg x 12,000 biji
= 18,000.00 kg

Ya, anggaran potensi hasil yang boleh kita capai adalah 18,000 kg.

Jika cahaya tak cukup, hasil akan berkurang 10-20 % kan?

= (10-20 %) x 18,000
= 1,800 hingga 3,600 kg.

Anggaran hasil yang berkurang bagi 1 ekar jika ladang kita tak dapat cahaya secara optimum adalah antara 1,800 hingga 3,600 kg.

Cuba kita tukar jumlah kilogram hasil tu kepada RM pula, berapa yang kita akan rugi.

Adaikan harga borong adalah RM3/kg.

= (1,800-3,600 kg) x RM3
= RM5,400-RM10,800

Tu dia, kita bakal kerugian antara RM5,400.00 hingga RM10,800.00 jika ladang nanas MD2 kita tak dapat cahaya secara optimum.

Kekurangan cahaya juga boleh menjejaskan kualiti dan mutu buah nanas MD2. Bila cahaya tak cukup, kandungan asid dalam buah menjadi lebih tinggi dan kandungan gula akan berkurang. Ini menyebabkan buah kita akan rasa lebih masam.

Bila buah masam, kita akan akan menghadapai masalah yang paling besar iaitu susahnya nak jual buah. Jika dapat dijual pun, harga pasti akan jatuh menjunam.

 

2. Hujan / Air

Pokok nanas MD2 dikategorikan sebagai jenis xerofit tulen, iaitu tanaman yang tergolong boleh tahan kepada kemarau. Maknanya, pokok nanas MD2 tidak akan mati bila berlaku kemarau, cuma tumbesarannya akan sedikit terbantut.

Berbeza pula jika hujan/air yang berlebihan, pokok nanas MD2 boleh mati disebabkan oleh serangan penyakit reput pangkal.

Mengikut guru saya, nanas MD2 ni sangat sensitif dan manja dengan air. Pernah pengalaman beliau, ladangnya ditenggelami air lebih kurang 24 jam. Lepas je satu minggu, hampir keseluruhan pokok di ladangnya dah ada tanda-tanda terkena penyakit reput pangkal. Lepas tu, habis satu ladang musnah.

Yang bestnya tanam nanas MD2 ni, kita tak perlu siram pun. Nanas MD2 bukan tak perlu air tetapi perlu dalam kuantiti yang agak sedikit. Memadai dengan air hujan dan embun sahaja. Dapat la kita jimat kos pembangunan khususnya kos sistem pengairan.

Untuk pertumbuhan yang baik dan subur, nanas MD2 perlukan taburan hujan sebanyak 1250 mm setahun. Nak lagi baik, pilih kawasan yang taburan hujannya seragam sepanjang tahun.

 

3. Tanah

Bila kedua-dua faktor diatas dah dipenuhi, barulah kita cari tanah yang sesuai. Pokok nanas MD2 boleh tumbuh dikebanyakan tanah di Malaysia. Tanah yang paling sesuai adalah jenis mineral.

Nanas MD2 juga boleh ditanam ditanah gambut dengan syarat sistem saliran dibuat dengan baik.

Dalam pemilihan tanah ini, pastikan tapak yang kita pilih itu tidak menakung air, mempunyai saliran yang baik dan jika boleh, mempunyai “tanah atas” yang dalam.

Sahabat,

Tanaman nanas MD2 ni boleh dapat pulangan yang lumayan jika betul caranya. Jadi, perkara yang paling utama sekali sebelum kita nak laburkan duit untuk buka ladang nanas MD2 ini adalah pemilihan tapak/lokasi yang sangat sesuai.

Andaikata tapak yang kita pilih tersebut tidak dapat memenuhi salah satu faktor diatas, risiko untuk kita rugi adalah sangat tinggi.

Usah terburu–buru nak buat projek. Ambil masa untuk cari tapak yang paling sesuai ya sahabat. “Biar lambat asalkan untung. Jangan cepat tapi rugi”.

 

Azuan Abdullah

Graduan Bacelor Sains Bioindustri, UPM. Berkhidmat sebagai agronomist. Sangat minat berkebun. Suka menulis dan berkongsi pengalaman berkaitan pertanian.

2 thoughts on “3 Faktor Terpenting Dalam Pemilihan Tapak Untuk Tanaman Nanas MD2”

Leave a Comment

error: Content is protected !!